Penulis

Sepatah Dua Kata Dari Penulis Blog 

Blog ini dibina dengan harapan agar ilmu yang saya kongsikan bermanfaat untuk semua dan diamalkan. 

Tuai padi antara masak,
Esok jangan layu-layuan,
Intai kami antara nampak,
Esok jangan rindu-rinduan.

Assalammualaikum dan Salam 1Malaysia,

      Serangkap pantun yang amat saya minati apatah lagi digubah menjadi gurindam sungguh puitis dan menyentuh jiwa. SURIATI itulah nama yang telah diberikan oleh arwah bapa saya AHMAD MAJID dan ibu MIAH TUBONG yang amat saya sayangi dan hormati. Campuran pelbagai bangsa namun yang tertera di surat lahir ialah MELAYU. Arwah Abah berbangsa Melayu dengan Cina manakala ‘Mommy’ saya pula berketurunan Kadazan dengan Jawa. Penyatuan dua hati dari dua negeri yang terpisah Laut China Selatan melahirkan saya yang menjadi pendidik berkat kasih-sayang dan pengorbanan mereka. Terima Kasih Abah dan Mommy.

Saya berbintang Libra dilahirkan pada 8 Oktober dalam tahun Kuda mengikut kalendar masyarakat Cina. ‘Apo Nak Dikato’ lagu dialek tanah kelahiran saya tapi dibesarkan di negeri yang melahirkan Hang Tuah. Negeri di Bawah Bayu merupakan naunganku dengan berbekalkan pepatah ‘Di mana bumi dipijak, di situ langit ku junjung’ menabur bakti pada anak didik yang comel-comel dan naïf sekali. Membaca merupakan hobi saya selain menyanyi, menonton wayang dan ‘windows shopping’.

     Anak keempat daripada lima orang adik beradik dan disapa dengan panggilan Mak Teh oleh anak-anak saudara yang seramai 15 orang. Setiap tahun akan terbang ke rumah Kak Long maklumlah dapat tambang percuma. Saya amat mementingkan hubungan kekeluargaan kerana dididik oleh arwah Abah agar sentiasa mengingati keluarga tidak kira masa senang atau pun susah. Kucing merupakan haiwan peliharaan saya di rumah selain cicak, lipas, semut dan tikus yang suka juga duduk di rumah.

Saya amat menyayangi anak-anak saya dan mengharapkan yang terbaik sahaja untuk mereka biarpun kadang-kala tidak dapat memenuhi semua permintaan mereka. Saya amat bertuah memiliki anak-anak yang sentiasa memahami dan menghargai kasih sayang saya. Semoga mereka menerangi tempat bersemadi saya dengan doa mereka.

         Bahasa Melayu merupakan subjek yang amat saya minati dan Alhamdullillah saya diterima untuk mengikuti Diploma Perguruan dalam pengkhususan Bahasa Melayu di Institut Perguruan Keningau Sabah. dan sekarang sedang mengikuti Program Pensiswazahan Guru juga dalam major Bahasa Melayu di Universiti Pendidikan Sultan Idris. Blog ini dibina dengan harapan agar ilmu yang saya kongsikan bermanfaat untuk semua dan diamalkan. Harapan saya semoga saya berjaya menggapai semua yang diimpikan dan sentiasa dilindungi dan dirahmati oleh Allah S.W.T. Saya impikan yang terbaik tetapi perancangan Allah itu lebih sempurna.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...